Cerita Saya

Foto saya
Selalu belajar dan mencari ilmu yang berguna/bermanfaat untuk pribadi dan masyarakat.

Selasa, 05 April 2011

Kisah Perhimpunan Agung di Hadiratul Quddus

Diriwayatkan setelah semua manusia yang layak memasuki syurga sudah memasuki syurga, pada satu hari yang ditentukan, Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail membawa ahli syurga ke satu perkampungan yang bernama Hadiratul Quddus. Hadiratul Quddus terletak di dalam syurga yang bernama Syurga Khuldi, iaitu suatu alam dan tempat yang cuma diketahui kedudukannya oleh Allah SWT sahaja.

Apabila malaikat Jibrail dan rombongan ahli syurga yang ramai itu sampai di pintu masuk Syurga Khuldi, maka muncullah malaikat yang menjadi pengawal syurga itu, lalu bertanya: "Apakah bicara dan kehendak tuan bersama rombongan manusia yang ramai ini ke perkampungan syurga ini yang tidak pernah dijejaki oleh seorang manusiapun."

Lalu Jibrail menjawab: "Aku diperintahkan oleh Allah SWT, pentadbir seluruh alam untuk menghantar tetamu-tetamuNya dari orang-orang yang bernasib baik bagi menduduki Hadiratul Quddus"

Setelah mendengar kata-kata perintah dari Jibrail, maka malaikat yang mengawal pintu Syurga Khuldi itu dengan segera membuka pintunya dan membenarkan Jibrail dan ke semua tetamu Allah SWT tersebut menuju ke perkampungan syurga Hadiratul Quddus.

Malaikat Jibrail pun masuk ke dalam syurga itu lalu menaiki ke satu puncak mahligai yang tinggi lantas berkata: "Wahai Muhammad, masuklah tuan hamba bersama para nabi, para sahabat dan sekalian manusia yang menjadi calon penghuni syurga ke taman Hadiratul Quddus ini untuk menikmati segala kemewahan yang telah dijanjikan Allah SWT dahulu. Maka masuklah Rasulullah dan sekelian tetamu Allah SWT yang lain ke dalam taman itu lalu menaiki kenderaan khas yang disediakan.

Apabila mereka melalui jalan di dalam taman syurga itu, tiba-tiba berundurlah ke belakang dengan sendirinya segala pohon kayu kecil dan besar yang menghiasi taman itu untuk memberi hormat kepada rombongan tersebut. Sepanjang perjalanan mereka diperlihatkan permandangan taman yang indah lagi mengkagumkan, melalui bangunan serta mahligai yang diperbuat dari emas, perak, batu delima serta lain-lain. Pendek kata, Hadiratul Quddus memiliki mahligai yang bertaburan dalam suasana yang terlalu permai dan amat menyenangkan.

Pada pintu setiap mahligai tersebut sudahpun tertulis nama penghuni yang bakal memilikinya manakala di dalamnya menunggu dengan wajah kerinduan akan para bidadari yang amat jelita, menunggu dengan penuh sabar akan saat pertemuan yang sudah terlalu hampir akan kedatangan suami mereka yang bakal menjadi penghuni dan raja di dalam mahligai tersebut.

Setelah beberapa lama mengelilingi Hadiratul Quddus, malaikat Jibrail lalu membawa ke semua ahli syurga berkenaan berkumpul untuk menghadiri satu upacara perhimpunan agung. Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail untuk membentangkan satu hamparan permaidani, maka duduklah para tetamu Allah SWT itu berehat dengan penuh gembira dan selesa sekali. Seketika kemudian Allah SWT pun memerintah para malaikat: "Berikan makan kepada waliKu". Muncullah para pelayan membawa pelbagai hidangan istimewa. Semakin banyak dimakan, semakin terasa lazat rasanya. Setiap suap tidak sama rasanya. Mereka terus menikmati hidangan makanan dengan sepuas-puasnya. Setelah makan, Allah SWT memerintahkan: "Berikan minum pada hamba-hambaKu". Maka para tetamu Allah SWT tersebut diberi minuman yang rasa airnya bertambah lazat pada setiap teguk.

Setelah para tetamu Allah SWT tersebut menikmati jamuan di hari pertama mereka dikumpulkan beramai-ramai, Allah SWT pun memerintah malaikat Jibrail supaya manghadiahkan kepada mereka pakaian-pakaian syurga. Tubuh badan mereka disaluti dengan pelbagai perhiasan yang amat baik dan terlalu tinggi nilainya samada perhiasan cincin emas yang bertatah batu-batu delima atau berlian yang terlalu ajaib dan menakjubkan. Setiap cincin yang dipakai oleh tetamu Allah SWT itu tersurat kalimah-kalimah tertentu yang memuji kebesaran Allah SWT. Mereka juga dihiasi dengan mahkota syurga yang dihiasi dengan batu-batu permata yang bergemerlapan.

Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail menghantar pula bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Maka muncullah seekor burung yang sangat ajaib rupanya dan terlalu cantik pula warnanya terbang di dalam taman syurga yang permai itu, sambil mengembangkan sayapnya mengelilingi kepala mereka. Maka terpeciklah bau-bauan yang sangat harum hasil dari sayap-sayap burung ajaib tersebut lalu merenjis pada tubuh dan pakaian setiap tetamu Allah SWT yang hadir pada majlis itu. Maka bertambah harum dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu. Alangkah tercengangnya para tetamu Allah SWT itu melihat dan mengalami kejadian ajaib yang ditunjukkan oleh Allah SWT itu, sebagai janji kesenangan dan kebahagian yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman di alam akhirat nanti.

Seketika kemudian secara tiba-tiba muncullah sebuah mimbar yang diperbuat daripada Nur. Malaikat Jibrail mara di tengah manusia yang ramai itu sambil membimbing tangan Nabi Musa AS naik ke atas mimbar tersebut untuk membaca kitab Taurat. Nabi Musa AS pun memperdengarkan bacaan Taurat dengan bacaan yang lembut dan jelas didengar oleh sekelian hadirin. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput pula nabi Isa AS naik ke atas mimbar untuk membaca kitab Injil seperti yang pernah diturunkan ke atas baginda oleh Allah SWT. Setelah nabi Isa AS memperdengarkan bacaannya, tibalah giliran nabi Daud AS pula untuk membaca kitab Zabur. Bagindapun memperdengarkan bacaan kitab Zabur dengan suara yang amat merdu hingga terpegunlah sekelian tetamu Allah SWT pada hari itu. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput Rasulullah SAW naik ke atas mimbar untuk memperdengarkan Al Quran. Rasulullah SAW pun membaca Al Quran dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah didengar oleh sebarang manusia sebelum ini.

Setelah selesai pembacaan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan oleh Allah SWT pada umat manusia, maka tiba-tiba terdengarlah satu suara paling merdu memenuhi ruang syurga yang terbentang luas itu. Suara itu merupakan firman dari Allah SWT sendiri yang pertama kali didengar oleh sekelian ahli syurga tersebut. "Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu, dan kini kamu boleh meminta niscaya aku akan berikan permintaanmu". Jawab ahli syurga: "Kami minta ridhoMu. kami minta ridhoMu." dua tiga kali. Dijawab oleh Allah SWT: "Aku ridho kepadamu bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima."

Maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia sekehendak Allah SWT, maka segera mereka bersujud kepada Allah SWT sehingga Allah SWT menyuruh mereka: "Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat."

Maka disitu mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arasy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: "Kamu kini lebih elok dari yang biasa."

Wallahu'alam.

Kisah Bidadari Ainaa’ ul Mardhiyah

Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdul Wahid bin Zaid: "Pada suatu hari ketika kami di dalam satu majlis persiapan untuk pergi berjihad, aku memerintahkan kawan-kawanku untuk mula keluar ke medan peperangan pada hari Isnin, lalu seorang dari kami membaca ayat 11 surah Attaubah yang bermaksud: "Sungguh Allah SWT telah membeli dari kaum Mukminin jiwa dan harta mereka dengan dibayar syurga".

Di dalam majlis itu ada seorang pemuda yang berumur 15 tahun. Beliau yang baru kematian bapanya telah menerima harta waris yang banyak telah berkata: "Ya Abdul Wahid, aku bersaksikan padamu untuk menjualkan diri dan hartaku untuk mendapatkan syurga itu". Aku berkata padanya: "Sungguh berat untuk menghadapi tajamnya pedang itu sedangkan kamu masih kanak-kanak, aku takut kamu tidak tabah, juga tidak sabar untuk menghadapinya sehingga tidak kuat meneruskan penjualan itu". Pemuda itu lantas berkata: " Wahai Abdul Wahid, apakah aku akan lemah kalau aku menjualkan diriku pada Allah SWT? Aku persaksikan padamu sekali lagi bahawa aku telah menjualkan diriku pada Allah SWT. Kami tidak merasakan anak kecil tidak boleh berbuat demikian". Maka pemuda itu menyerahkan semua hartanya yang ada kecuali pedang, kuda dan sedikit bekalan untuk ke medan peperangan.

Bila tiba hari Isnin, beliaulah orang yang pertama sampai untuk berangkat ke perbatasan dan mengucap salam kepada ku: "Assalamualaikum ya Abdul Wahid" Aku menjawab: "Wa alaikassalam warahmat Allah wabarakaatuh. Semoga Allah SWT memberi keuntungan dalam jualanmu itu."

Ketika perjalanan, pemuda itu berpuasa di siang hari dan bangun sembahyang serta menjaga keselamatan kami di waktu malam. Beliau jugalah yang menjaga ternakan yang kami bawa sambil melayani keperluan kami di siang hari. Ketika sampai di sempadan negeri Rum, tiba-tiba pada suatu hari selepas waktu Asar, pemuda itu datang meluru sambil menyeru: "Alangkah rindunya aku akan Ainaa’ ul Mardhiyah". Ramai di antara kami menyangka pemuda itu mengalami ganguan saraf ingatan.

Lalu aku menyambut kedatangannya seraya bertanya: "Wahai kesayanganku, apakah itu Ainaa’ ul Mardhiyah?" Lantas beliau menjawab: "Tadi aku tertidur sebentar. Aku bermimpi seseorang datang kepadaku seraya berkata, mari aku bawa kamu bertemu Ainaa’ ul Mardhiyah. Aku dibawa ke satu taman yang sangat cantik. Di situ ada sungai yang airnya sangat jernih. Aku melihat ramai gadis yang kecantikan mereka tidak dapat aku gambarkan, lengkap dengan perhiasan sedang bermain di taman itu. Apabila mereka menyedari kehadiranku, dengan wajah teramat gembira mereka berkata Demi Allah, itulah suami Ainaa’ ul Mardhiyah. Lantas aku memberikan salam kepada mereka, Assalamualaikunna, apakah di sini tempat Ainaa’ ul Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata tidak, kami hanyalah budak dan pelayannya, majulah kamu ke depan lagi."

Pemuda itu meneruskan ceritanya: "Akupun meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu taman yang ada sungai susu yang tidak berubah rasa. Kehadiranku disambut oleh sekumpulan gadis yang lebih cantik dari yang pernah ku lihat sebelum mereka. Mereka berkata, Demi Allah lihatlah, suami Ainaa’ ul Mardhiyah sudah sampai. Akupun mengucapkan salam kepada mereka lantas bertanya, apakah ada di antara kamu ini Ainaa’ ul Mardhiyah? Sesudah menjawab salamku mereka berkata yang mereka adalah budak serta pelayan-pelayan Ainaa’ ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku meneruskan perjalananku."

Pemuda itu berkata lagi: "Aku meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu lembah yang ada sungai khamar pula. Di situ ramai gadis sedang bersuka ria, yang mana mereka lebih cantik sehingga menyebabkan aku lupa akan kecantikan gadis yang aku lihat sebelum mereka. Akupun mengucap Assalamualaikunna, apakah ada pada kamu Ainaa’ ul Mardhiyah? Mereka juga berkata tidak, kami hanyalah budak dan pelayannya, teruskan perjalanan kamu ke hadapan."

Pemuda itu menyambung cerita: "Tiba-tiba aku bertemu pula dengan sungai madu di dalam satu kebun. Ku lihat kebun itu dipenuhi dengan ramai gadis yang bagaikan cahaya dalam kecantikan mereka. Aku mengucap Assalamualaikunna, apakah di sini ada Ainaa’ ul Mardhiyah? Mereka menjawab Ya Wali Allah, kami hanyalah budak serta pelayannya sahaja. Majulah kamu ke hadapan".

Pemuda itu mengakhirkan cerita: "Akupun meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku sampai pada satu kemah yang diperbuat dari permata yang berlubang. Ku lihat ada seorang gadis yang lebih cantik dari sebelumnya sedang menjaga pintu kemah tersebut. Setelah ia melihat akan kehadiranku, dengan nada gembira ia berseru, wahai Ainaa’ ul Mardhiyah, suami kamu sudah sampai. Dengan rasa penuh rindu, akupun meluru masuk ke dalam kemah berkenaan. Di dalam kemah itu ada satu tempat tidur yang diperbuat dari emas yang bertaburan permata yakut serta berlian. Sungguh aku terpesona bila ku lihat akan kehadiran seorang gadis yang sangat cantik rupawan, menatap aku dalam senyuman duduk di atas tempat tidur berkenaan. Dengan alunan suara merdu ia menyambut aku dengan kalimat, Marhaban bi waliyir Rahman, sudah terlalu hampir saat pertemuan kita. Aku ingin mendakapnya. Tapi Ainaa’ ul Mardhiyah lantas berkata kepadaku, sabarlah dahulu wahai kekandaku kerana belum tiba masanya, kamukan masih hidup di alam dunia. Nanti bila malam kamu akan berbuka puasa di sini InsyaAllah. Kemudian akupun tersedar dari tidurku. Wahai Abdul Wahid, aku rasa tidak sabar lagi…"

Abdul Wahid berkata: "Belum sempat pemuda itu menghabiskan ceritanya, tiba-tiba kami diserang oleh pasukan musuh. Bersama pemuda itu kami melakukan serangan balas terhadap pasukan musuh berkenaan. Setelah ia berjaya membunuh sembilan orang kafir, akhirnya ku lihat pemuda itu rebah Akupun segera pergi ke arahnya. Dalam keadaan tubuhnya yang berlumuran darah, ku lihat pemuda itu dalam keadaan tersenyum sehinggalah ia meninggal dunia."

Wallahu'alam

Perihal Malaikat Israfil

Malaikat Israfil adalah salah satu di antara empat malaikat yang paling mulia dan bersaiz besar di sisi Allah SWT Ia ditugaskan untuk meniup sebanyak tiga kali tiupan sangkakala pada hari kiamat. Seperti malaikat-malaikat yang lain ia diperbuat dari Nur. Ia berbulu dari kepala hingga kedua telapak kakinya dan mempunyai banyak mulut dan lidah. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.

Jumlah sayap malaikat Israfil itu ada empat. Sayapnya yang pertama panjangnya sampai ke barat, sayapnya yang kedua sampai ke timur, yang ketiga boleh menutupi seluruh badannya dan yang keempat menutupi kepalanya. Ia mempunyai seribu tentera malaikat yang serupa dengan kejadiannya.

At-Tabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA:"Sewaktu Rasulullah SAW bersama-sama dengan malaikat Jibrail tiba-tiba ufuk langit terpecah, maka menghadaplah satu lembaga malaikat tertunduk dan condong ke bumi. Berkata malaikat itu: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu agar memilih antara menjadi nabinya hamba atau jadi rajanya nabi".

Adapun "rajanya nabi" mengerjakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT kepadanya dan tidak melakukan apa yang diharamkan oleh Allah SWT kepadanya. Ia menjalankan pemerintahan atau kerajaannya dan membelanjakan harta negara terhadap hal-hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT. Mereka menghindari dari sesuatu yang menimbulkan dosa. Nabi yang menjadi raja adalah seperti nabi Sulaiman AS, nabi Daud AS dan lain-lain. Adapun "nabinya hamba" tidak memberikan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan perintah Allah SWT. Ia tidak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan tidak menghalangi kepada sesiapa yang mengkehendakinya, dia hanya memberi dan menghalangi atas perintah Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Jibrail memberi isyarat kepadaku dengan tangannya agar merendah. Maka tahulah aku bahawa itu nasihat untukku, maka aku berkata, "hambanya nabi". Kemudian malaikat itu naik ke langit maka aku berkata, hai Jibrail, aku sungguh ingin bertanya hal ini kepadamu, tapi aku melihat halmu menyusahkan aku untuk mengemukakan pertanyaan itu. Siapakah itu wahai Jibrail? Jibrail menjawab, Itulah dia malaikat Israfil Allah menciptakannya pada hari kejadiannya di hadapannya dengan dua kakinya lurus bersaf, tidak pernah mengangkat hujungnya."

Ia tertutup di dalam beberapa lapisan dinding. Disebutkan bahawa jarak di antara malaikat Israfil dengan Arasy dilapisi dengan tujuh dinding yang mana satu dinding adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan dan jarak malaikat Israfil dengan malaikat Jibrail kira kira tujuh puloh dinding. Imam Ahmad RAH. meriwayatkan dari Abu Said RA, Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang malaikat peniup sangkakala, dengan sabdanya: "Disebelah kirinya ada malaikat Jibrail dan disebelah kanannya ada malaikat Mikail"

Salah satu tiang Arasy berada di atas pundaknya. Menurut riwayat, Lauhil Mahfuzh itu bergantungan di bawah Arasy dan malaikat Israfil berada di hadapan Lauhil Mahfuzh tersebut. Adapun apabila setiap keputusan Allah SWT tercatit di Lauhil Mahfuzh, maka terbukalah dinding-dinding yang menghalanginya dan malaikat Israfil pun melihatnya. Apabila ia adalah tugas malaikat Jibrail, maka malaikat Israfil akan memerintahkan malaikat Jibrail untuk melaksanakanya, begitu juga apabila untuk tugasan-tugasan malaikat Mikail dan malaikat Izrail, ia akan memerintah mereka untuk melaksanakannya.

Malaikat Israfil sentiasa meletakkan terompet sangkakala di mulutnya. Disebutkan bahawa terompet malaikat Israfil itu bercabang empat. Satu cabang diarahkan ke barat, satu ke timur, satu ke bawah bumi dan satu diarah kan ke langit yang ke tujuh. Adapun lingkaran kepala terompet itu selebar langit dan bumi. Di dalamnya terdapat pintu-pintu sebanyak bilangan para arwah. Ada tujuh puloh rumah di dalamnya. Di antaranya rumah arwah para Nabi AS, arwah para manusia, para jin, syaitan, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang terompet malaikat Israfil: "Terompet itu adalah sebuah tanduk raksaksa yang terdiri dari cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Terompet itu akan ditiup tiga kali. Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati, tiupan ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur".

Warna malaikat Israfil adalah kuning tua, sedangkan sebab musabab wajahnya menjadi kuning adalah kerana getaran rasa takut kepada Allah SWT yang selalu meliputi malaikat Israfil Sabda Rasulullah SAW: "Bagaimana manusia boleh merasa senang sedangkan malaikat peniup sangkakala telah bersiap sedia meniupnya dan menundukkan keningnya serta memasang telinganya siap menunggu perintah".

Wallahu'alam

Perihal Malaikat Izrail

Malaikat Izrail adalah salah satu di antara empat pembesar malaikat yang empat selain malaikat Jibrail, Mikail dan Israfil Dikenali malaikat maut kerana ia ditugaskan untuk mencabut nyawa makhluk-makhluk Allah SWT Malaikat Izrail diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan yang serupa dengan malaikat Mikail baik wajahnya, saiznya, kekuatannya, lisannya dan sayapnya. Semuanya tidak kurang dan tidak lebih.

Dari kepala hingga kedua telapak kakinya berbulu Za'faran dan di setiap bulu ada satu juta muka dan setiap satu juta muka mempunyai satu juta mata dan satu juta mulut. Setiap mulut ada satu juta lidah, setiap lidah boleh berbicara satu juta bahasa. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.

Disebutkan, ketika Allah SWT mencipta Al-Maut dan menyerahkan kepada malaikat Izrail, maka berkata malaikat Izrail: "wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?". Maka Allah SWT menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun.

Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka: "Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?" Kemudian Allah SWT berfirman: "Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih Agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu".

Kemudian Allah SWT berfirman: "Hai Izrail, ambillah Al-Maut itu, dan Aku telah menyerahkannya kepada mu". Maka malaikat Izrail pun berkata: "Ya Tuhanku, apa dayaku untuk mengambil nya sedangkan ia lebih agung dari ku". Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya.

Setelah itu Al-Maut berkata: "Ya Tuhanku, izinkanlah aku untuk berseru di dalam langit sekali sahaja". Maka, setelah diizinkan, berserulah ia dengan suara yang amat keras: "Aku ini adalah Al-Maut, tugasku sebagai pemisah orang yang saling mencintai. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan antara anak dan ibunya. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan saudara lelaki dan wanita. Aku adalah Al-Maut, tugasku menghancurkan bangunan rumah dan gedung-gedung, Aku adalah Al-Maut, tugasku meramaikan kuburan. Aku adalah Al-Maut, tugasku mencari dan mendatangi kamu semuanya, walaupun kamu berada dalam lapis benteng yang amat kuat. Dan tiada satupun makhluk yang tidak merasakan kepedihanku".

Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah SWT sehingga arah barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya sebagaimana keadaan seseorang yang sedang menghadapi sebuah meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai macam makanan yang siap untuk dimakan. Ia juga boleh membolak-balikkan dunia sebagaimana kemampuan seseorang boleh membolak-balikkan wang syilling.

Sewaktu malaikat Izrail menjalankan tugasnya mencabut nyawa makhluk-makhluk dunia, ianya akan turun ke dunia bersama-sama dengan dua kumpulan malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab.

Wallahu'alam.

Perihal Malaikat Mikail

Malaikat Mikail adalah salah satu di antara pembesar malaikat yang empat. Ia dicipta oleh Allah SWT selepas malaikat Israfil dengan selisih kira-kira lima ratus tahun. Dari kepala malaikat Mikail hingga kedua telapak kakinya berbulu Za'faron. Jika seluruh air di lautan dan sungai di muka bumi ini disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah. Di atas setiap bulu-bulunya, terdapat sebanyak satu juta muka.

Setiap muka malaikat Mikail ini pula mempunyai satu juta mulut dan setiap mulut mempunyai satu juta lidah manakala setiap lidah-lidahnya boleh berbicara satu juta bahasa atau lisan. Setiap satu juta lisan tersebut adalah membaca istighfar pada Allah SWT bagi orang-orang mukmin yang berdosa.

Setiap satu juta muka atau wajahnya mempunyai satu juta mata. Tiap-tiap matanya sentiasa menangis kerana memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Tiap-tiap matanya yang menangis itu mengeluarkan tujuh ribu titisan air mata dan setiap titisan air mata itu Allah SWT ciptakan satu malaikat Karubiyyuun yang serupa dengan kejadian malaikat Mikail Setiap malaikat-malaikat ini ditugaskan untuk bertasbih pada Allah SWT sehingga hari kiamat.

Di samping bertasbih, para-malaikat Karubiyyuun ini juga berperanan sebagai pembantu bagi malaikat Mikail dalam menjalankan tugas menyelia angin, membahagikan rezeki pada manusia, tumbuh-tumbuhan juga haiwan-haiwan dan lain-lain di muka bumi ini. Dikatakan setiap satu makhluk yang memerlukan rezeki untuk hidup di dunia ini akan diselia rezekinya oleh satu malaikat Karubiyyuun.

Imam Ahmad rah. dengan sanadnya, dari Anas bin Malik RA, ketika Rasulullah SAW Mikraj ke langit baginda ada bertanya pada malaikat Jibrail: "Mengapa aku tidak pernah nampak malaikat Mikail tertawa?"

Malaikat Jibrail menjawab: "Malaikat Mikail tidak pernah tertawa semenjak neraka diciptakan"

Wallahu'alam.

Perihal Malaikat Jibrail

Malaikat Jibrail adalah salah satu dari para malaikat yang cantik, besar, kuat dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT Ia ditugaskan sebagai penyampai wahyu kepada para rasul AS. Imam Ahmad RAH dengan sanadnya dari Ibn Mas'ud RA Rasulullah SAW bersabda: "Aku melihat Jibrail di Sidratul Muntaha, dia mempunyai 600 sayap".

Setelah Allah SWT mencipta Jibrail dengan bentuk yang cantik, Allah SWT mencipta pula baginya 600 sayap yang panjangnya antara timur dan barat. Dari sayapnya berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. Di antara sayap-sayap itu, terdapat 2 sayap berwarna hijau seperti sayap burung merak. Setelah Jibrail memandang dirinya, ia berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik dari aku?". Allah SWT berfirman: "Tidak".

Kemudian Jibrail berdiri serta solat 2 rakaat kerana syukur pada Allah SWT, dan tiap-tiap rakaat lamanya 20,000 tahun. Setalah Jibrail selesai bersolat, Allah SWT pun berfirman: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak seorangpun yang menyembah Aku seperti kamu. Akan tetapi, di akhir zaman nanti akan ada seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, nama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya mereka mengerjakan solat 2 rakaat yang hanya sebentar sahaja, mereka dalam keadaan lupa dan serba kurang. Fikiran mereka melayang dan bermacam-macam dan dosa merekapun besar juga. Maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai dari solat kamu kerana mereka mengerja solat atas perintahKu sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu." Kemudian Jibrail berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang engkau hadiahkan pada mereka sebagai imbalan ibadah mereka?" Lalu Allah SWT berfirman: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal"

Malaikat Jibrail mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah SAW, belumpun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibrail telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah SWT padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh 500 tahun perjalanan.

Di sebelah kanan sayap malaikat Jibrail terdapat gambar syurga beserta dengan isinya saperti bidadari, istana, pelayan dan sebagainya. Di sebelah kiri sayapnya terdapat gambar neraka dan segala isinya seperti ular, kala jengking, neraka yang bertingkat-tingkat, penjaganya yang terdiri dari malaikat yang garang iaitu malaikat Zabaniah dan sebagainya. Apabila sampai ajal seseorang yang beriman maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang sedang nazak itu dapat melihat kedudukannya di dalam syurga. Apabila sampai ajal seseorang yang seorang yang munafik maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kiri, maka orang yang sedang nazak itu akan melihat kedudukannya di dalam neraka.

Ketika Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail turun untuk memusnahkan kaum nabi Lut AS, dikatakan malaikat Jibrail mampu mengangkat kesemua 7 bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja, lalu diangkat hingga ke permukaan langit, sehinggalah para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar-bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibrail membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jibrail sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-
Sembahyang lima waktu secara berjemaah
Duduk bersama para ulamak
Menziariahi orang sakit
Menghantar jenazah
Memberi air minum
Mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan
Memuliakan jiran dan anak-anak yatim
maka bersungguh-sungguhlah kamu dalam perkara tersebut"

Wallahu'alam.

Iblis Laknatullah Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut

Syaitan laknatullah dan iblis laknatullah akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis laknatullah mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi tujuh golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah SAW menerangkan: Yang bermaksud: "Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut."

Rombongan 1 - Akan datang iblis laknatullah dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan iblis laknatullah itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2 - Akan datang iblis laknatullah kepada orang yang di dalam Sakaratul Maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, harimau, singa, ular dan kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang didalam Sakaratul Maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3 - Akan datang iblis laknatullah mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4 - Akan datang iblis laknatullah merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam Sakaratul Maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5 - Akan datang iblis laknatullah merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh iblis laknatullah, berkata dengan rayu-merayu "Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6 - Akan datanglah iblis laknatullah merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: "Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula iblis laknatullah yang menyerupai ulamak dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" Berkata orang yang sedang dalam Sakaratul Maut: "Aku tidak tahu."

Berkata ulamak iblis laknatullah: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah hendaklah kamu patuh kepada kami."

Ketika itu orang yang dalam Sakaratul Maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh iblis laknatullah bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam Sakaratul Maut). Kemudian orang yang sedang dalam Sakaratul Maut itu bertanya kepada ulamak palsu: "Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis laknatullah merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu."

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam Sakaratul Maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata iblis laknatullah: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah." Berkata orang yang dalam Sakaratul Maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini."

Dalam keraguan itu maka Malaikat Izrail pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7 - Rombongan iblis laknatullah yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa iblis laknatullah itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia Sakaratul Maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa ilaaha illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan iblis laknatullah dan syaitan laknatullah yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam Sakaratul Maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: "Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa ilaaha illallah."

Wallahu'alam.
Powered By Blogger

Entri Populer